Langkah-langkah untuk menghidupkan permainan tradisional
Peribahasa ada menyebut bahawa "agama dijunjung, budaya dikendong". Agama dan budaya sama penting sebagai cermin diri sesebuah bangsa. Tamadun dan peradaban sesebuah bangsa akan bertahan selagi kedua-duanya dipelihara. Budaya merangkumi adat resam, tatatertib,cara berpakaian, pemakanan, permainan dan hiburan. Setiap satu daripada komponen budaya tersebut mencerminkan kehalusan nilai seni dan cara hidup sesuatu bangsa. Demikian juga dengan rakyat Malaysia yang memiliki pelbagai ciri pemajmukan budaya hasil daripada interaksi masyarakat pelbagai kaum.
Sebagai sebuah bangsa yang memiliki unsur tradisi, kita harus mempertahankan segala unsur warisan itu khususnya permainan tradisional. Terlalu banyak permainan tradisional yang melambangkan ciri-ciri masyarakat majmuk seperti permainan wau, gasing, congkak, cingge dan sebagainya. Salah satu usaha awal untuk menghidupkan semula warisan tradisi bangsa itu ialah melalui peranan pihak Kementeriaan Kebudayaan,Kesenian dan Warisan mencungkil khazanah tersebut semula. Pihak kementerian perlulah menyelidik dengan mencari semula tokoh-tokoh budaya yang mungkin sudah lanjut usia. Daripada golongan inilah segala rahsia tradisi dapat dikorek semula.
Dalam usaha mempopularkan semula permainan yang sebahagiannya sudah hampir dilupakan itu, permainan tersebut hendaklah dijadikan sebagai acara penyeri dalam sambutan-sambutan rasmi negara seperti Sambutan Hari Kebangsaan dan acara-acara pelancongan. Selain itu, permainan tradisi boleh diperkenalkan dan dijadikan sebagai acara pembuka tirai dalam semua temasya sukan sama ada sukan tempatan atau antarabangsa. Inisiatif ini harus ditunjangi oleh Kementeriaan Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Usaha murni seperti ini bukan sahaja dapat menghidupkan permainan-permainan tersebut semula malah dapat diperkenalkan ke peringkat antarabangsa.
Langkah mendokumentasikan semula permainan tradisi rakyat tempatan patut dijalankan oleh semua institusi pengajian tinggi tempatan. Kajian tersebut boleh dimasukkan dalam subjek Sejarah atau Pengajian Malaysia. Semua pelajar dan mahasiswa diwajibkan mengambil subjek tersebut sebagai salah satu subjek wajib dan syarat pengijazahan. Langkah ini sebenarnya menjadi pengiktirafan tinggi terhadap budaya bangsa selain dapat mengekallan budaya dan warisan yang amat tinggi nilainya itu.
Semua pihak di negara ini cukup yakin sekiranya permainan-permainan tradisi tersebut dihidupkan semula, sambutan daripada rakyat jelata pasti menggalakkan. Sebenarnya tiada pihak yang sanggup membiarkan segala warisan tradisi bangsanya luput ditelan oleh arus pemodenan. Hal ini samalh seperti kata peribahasa, "tak lapuk dek hujan, tak kering dek panas".
Comments
Post a Comment